Minggu ini kita terus bergolak dengan pelbagai panggilan, gelaran, makian, kejian dan sebagainya.
Dari isu Dr Zakir Naik, kes kematian arwah Adib, kes - kes kematian yang melibatkan bangsa, kata - kata kejian yang melibatkan penjawat awan dan sebagainya terus bermain dan berlegar di ruangan berita, media sosial dan seluruh masyarakat di Malaysia. Adakah ini memberikan kebaikan kepada kita dari segi interaksi dan diskusi atau ianya semakin menjarakkan hubungan antara sesama kita?
Umum mengetahui, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan agama. Sifat saling menghormati antara kaum dan agama telah disemai sejak dahulu lagi. Namun, sifat saling menghormati tersebut semakin pudar dari tahun ke tahun dan semakin menyerlah sejak kebelakangan ini. Dimanakah silapnya yang menyebabkan perkara ini berlaku? Adakah peranan yang dimainkan oleh kerajaan untuk mewujudkan perpaduan agak kurang menyerlah? Perkara ini menjadi persoalan kepada para pencinta perpaduan dan keamanan di Malaysia.
Untuk menyemai perpaduan dikalangan rakyat Malaysia, iainya perlu bermula dari bangku sekolah lagi. Pendidikan amat memainkan peranan dalam mendidik dan memberi pelajaran tentang pentingnya saling menghormati antara satu sama lain. Pendidikan berkesan bermula dari sekolah rendah. Untuk merealisasikan pendidikan untuk semua kaum maka satu bentuk aliran kurikulum persekolahan yang baru perlu dibuat dan dibincangkan. Selain kurikulum, kerajaan juga perlu memikirkan dari sekarang tentang satu jenis sekolah kebangsaan sahaja. Namun, jika kerajaan berasakan untuk merealisasikan satu jenis sekolah kebangsaan agak sukar, maka kurikulum pendidikan di Malaysia perlu diubah dan diperbaharui.
Antara perubahan kurikulum yang dicadangkan adalah menguatkuasakan peraturan penggunaan Bahasa Malaysia di semua sekolah di Malaysia. Subjek Bahasa Malaysia bukan sekadar untuk lulus sahaja tetapi penggunaan perlu lebih meluas di setiap sekolah termasuk sekolah vernakular. Para pelajar perlu dilarang untuk bertutur dalam bahasa asing dan hanya boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia sahaja. Subjek Bahasa Inggeris boleh dijadikan sebagai bahasa ke dua dan subjek bagi bahasa - bahasa lain perlu dijadikan sebagai sebagai bahasa ke tiga.